Sesi latihan rasmi pasukan yang pertama dikendalikan oleh Ketua Jurulatih sementara Red Giants Michael Feichtenbeiner pada 22 September 2020. Skuad Selangor bakal menentang UITM FC di Stadium UITM Shah Alam, Sabtu ini. Foto: Facebook FA Selangor
AGENDASUKANKINI

EXCO: Ketua jurulatih sementara Selangor diharap faham pemain, cipta kejayaan

SHAH ALAM, 22 SEPT: Skuad Selangor dipimpin Ketua Jurulatih sementara Michael Feichtenbeiner diharap memahami barisan pemainnya bagi melakar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

EXCO Sukan berkata khidmat pengendali baharu penting bagi memulihkan kembali semangat skuad Gergasi Merah meneruskan momentum kejayaan pasukan itu.

“Kita menghormati keputusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menamatkan kontrak jurulatih yang ada (B Sathianathan) dan berharap pasukan dikendalikan jurulatih yang faham pemain sekali gus membantu meraih kemenangan untuk perlawanan seterusnya.

Ketua Jurulatih sementara Red Giants Michael Feichtenbeiner memberikan tunjuk ajar strategi permainan pada 22 September 2020 kepada Skuad Selangor apabila bakal menentang UITM FC di Stadium UITM Shah Alam pada 26 September 2020. Foto: Facebook FA Selangor

“Bagaimanapun, kita (Kerajaan Negeri) bersama-sama penyokong Merah Kuning akan terus setia selain meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap jurulatih baharu untuk menebus kekalahan ini,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau juga enggan melihat rentak permainan pasukan terus terjejas dan menggesa pemain kembali membentuk keyakinan untuk mengharungi cabaran berikutnya.

“Kekalahan pasukan Selangor dan Selangor II mempunyai sebab yang boleh diperbaiki, jadi kita berharap mereka dapat bangkit serta membuktikan keupayaan sebenar.

“Saya yakin pemain kita tahu di mana kelemahan dan kekurangan yang boleh mereka perbaiki untuk perlawanan seterusnya,” katanya lagi.

Semalam, FAS mengesahkan penamatan kontrak serta-merta B Sathianathan selepas membuat penilaian dan mengambil kira semua aspek prestasi semasa.

Tempat pengendali berpengalaman itu dipikul sementara oleh pengarah teknikal persatuan itu sehingga ketua jurulatih baharu diumum kelak.


Pengarang :