AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Kutip RM1.1 juta caj beg plastik, didik jaga alam sekitar

KAJANG, 22 SEPT: Kerajaan Negeri mengutip RM1.1 juta daripada orang ramai menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata pungutan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan pasar raya dan premis perniagaan berdaftar di bawah program kutipan caj beg plastik.

“Kutipan dimasukkan ke dalam tabung amanah bagi kegunaan program kesedaran alam sekitar seperti penanaman pokok dan pembersihan sungai.

“Kita menjangka kutipan akan mencecah antara RM2.5 hingga RM3 juta pada penghujung tahun ini,” katanya ditemui selepas merasmikan program Kesedaran Selamatkan Ozon sempena Hari Ozon Sedunia 2020 peringkat Selangor di Kolej Profesional Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini hari ini.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Hee Loy Sian berucap ketika Perasmian Program Kesedaran Selamatkan Lapisan Ozon, Hari Ozon Sedunia 2020 peringkat Negeri anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor di Kolej Profesional Mara, Beranang pada 22 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ahli Dewan Negeri Kajang turut menyeru masyarakat supaya
meminimumkan penggunaan beg plastik dan penyedut minuman konvensional dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar.

Katanya pemilik restoran di negeri ini juga diminta tidak membekalkan penyedut minuman kepada pelanggan mereka melainkan atas permintaan.

“Walaupun bahan ini kecil tetapi sekiranya dibuang dan tidak diuruskan dengan baik ke tempat pelupusan, ia akan mengalir ke longkang seterusnya mencemarkan alam sekitar.

“Justeru, kita berharap semua masyarakat dapat bekerjasama untuk menjaga alam sekitar bukan hanya dengan tidak melakukan penebangan pokok secara haram malah mengurangkan (penggunaan) beg dan straw plastik,” katanya.

Kerajaan Selangor meluluskan pelaksanaan kutipan caj beg plastik melalui PBT bermula 1 Januari lalu. Semua premis perniagaan berdaftar boleh mendapatkan borang di PBT dan mempamerkan nombor pendaftaran serta sijil wajib di kawasan mudah dilihat sebagai rujukan pengguna.


Pengarang :