Ng Sze Han menyantuni penerima selepas menyerahkan lesen penjaja sementara kepada mereka dalam majlis berlangsung di Sungai Udang, Klang pada 8 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: PBT giat proses lesen penjaja seluruh Selangor

KLANG, 8 SEPT: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang giat memproses pemberian lesen perniagaan sementara kepada penjaja di seluruh negeri, kata EXCO kerajaan tempatan.

Menurut Ng Sze Han pihak PBT juga berusaha memberi kelulusan permohonan lesen tersebut dalam tempoh tujuh hari.

“Saya sendiri sudah memaklumkan kepada mereka (PBT), jika ada program berkaitan pemberian lesen kepada penjaja, tidak perlu tunggu saya atau Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, program berkenaan perlu terus dijalankan untuk memudahkan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas permintaan EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail yang menggesa supaya PBT mempercepatkan urusan pemberian lesen kepada penjaja.

Teguran Rodziah itu dibuat ketika Dialog Belanjawan Selangor 2021 yang turut disertai Dato’ Menteri Besar, ahli mesyuarat kerajaan negeri dan pegawai-pegawai Kerajaan Selangor.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata sehingga kini Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah meluluskan 600 lesen perniagaan sementara kepada penjaja di kawasan berkenaan.

“Kita akan teruskan lagi pemberian lesen niaga bagi membantu peniaga di musim pasca Covid-19 ini,” katanya.


Pengarang :