BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Penerima Kiss disemak, pastikan yang layak terima bantuan

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Senarai penerima Program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) akan dikemas kini bagi memastikan hanya yang layak mendapat manfaat, kata EXCO pemberdayaan wanita.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah tersebut bukan untuk mengurangkan jumlah penerima sebaliknya memastikan bantuan itu disalurkan kepada golongan memerlukan sahaja.

“Semakan lebih teliti dibuat bagi mengelak individu sama menerima manfaat setiap tahun sedangkan ramai di luar sana yang betul-betul susah serta memerlukan pertolongan.

“Selain itu ada dalam kalangan penerima Kiss telah berjaya keluar dari kemiskinan hasil kejayaan pelbagai program Kerajaan Negeri untuk meningkatkan taraf hidup mereka, jadi kita perlu beri ruang kepada orang lain pula,” katanya.

Pada 1 November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan bagi program Kiss ditambah RM12 juta menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada RM62 juta pada tahun ini seterusnya memberi manfaat kepada 25,000 penerima.

Sejak diperkenalkan pada 2017, inisiatif Kiss memberi manfaat kepada hampir 50,000 wanita di Selangor pada setiap tahun dan berjaya dalam memberdaya golongan berkaitan sebagai tonggak keluarga.


Pengarang :