Ng Sze Han menjawab pertanyaan media selepas menyerahkan lesen penjaja sementara kepada mereka dalam majlis di Sungai Udang, Klang pada 8 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Pengusaha restoran, kedai serbaneka di Selangor patuh waktu operasi

SHAH ALAM, 20 SEPT: Pengusaha restoran dan kedai serbaneka di Selangor memberikan kerjasama baik dengan mematuhi waktu operasi perniagaan sehingga jam 2 pagi.

EXCO kerajaan tempatan berkata setakat ini tiada sebarang aduan diterima mengenai pelanggaran waktu operasi melibatkan pihak berkaitan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Pemantauan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis mendapati semua masih dalam kawalan malah saya percaya semua pihak akan terus memberi kerjasama bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Bagaimanapun, agensi berkaitan akan sentiasa membuat rondaan di kawasan masing-masing untuk memastikan tiada sesiapapun melanggar arahan,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi.

Beliau turut menggesa orang awam membuat laporan kepada PBT dan polis sekiranya mempunyai maklumat premis perniagaan beroperasi melebihi tempoh ditetapkan sekali gus melanggar PKPP.

“Justeru, saya menasihati semua pengusaha premis mematuhi had masa dan tatacara operasi piawai (SOP). Kita tidak akan teragak-agak mengarahkan premis terbabit ditutup serta-merta jika ada yang melanggar peraturan ini,” katanya.

Pada 13 September lalu, Kerajaan Negeri membenarkan restoran dan kedai serbaneka melanjutkan operasi sehingga jam 2 pagi selaras dengan pengumuman Majlis Keselamatan Negara berbanding sebelum ini pada 12 tengah malam.


Pengarang :