Dr Siti Mariah Mahmud meluangkan masa meninjau hasil produk selepas Pra Pelancaran Tanjung Suri di Isetan KLCC, Kuala Lumpur pada 8 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Produk Tanjung Suri bakal dikomersial

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Produk Tanjung Suri yang merupakan hasil kerja golongan suri rumah di Selangor bakal dikomersialkan di pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur dan Selangor, kata EXCO pemberdayaan wanita.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jualan pelbagai produk kraf tangan, sulaman dan jahitan di Isetan KLCC, Kuala Lumpur bermula 4 hingga 16 September merupakan permulaan ke arah usaha tersebut.

“Jualan produk Tanjung Suri di Isetan merupakan permulaan untuk kita perkenalkan nama produk, kita harap ini permulaan positif supaya nama Tanjung Suri dikenali ramai.

Pelbagai hasil produk yang di jual di butik Tanjung Suri di Isetan KLCC, Kuala Lumpur pada 8 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Selain itu ia antara usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan kehidupan golongan ibu tunggal, orang kelainan upaya dan berpendapatan rendah, ” katanya selepas merasmikan Pra Pelancaran Produk Tanjung Suri di Isetan KLCC, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri tidak mahu mengatur program pemberian insentif semata-mata sebaliknya mengubah kepada program pemberdayaan wanita untuk menjana pendapatan dalam tempoh jangka panjang.

“Kerajaan Negeri tidak mungkin mampu memberi bantuan atau insentif selama-lamanya, kita kena ubah pendekatan dengan memberi mereka kemahiran untuk berdikari,” katanya.


Pengarang :