EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berucap pada Majlis Dialog Grow 2020 di Dewan Jubli Perak pada 16 September 2020. Foto Facebook Rodziah Ismail
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Sedia lulus lesen sementara niaga hadapan rumah, hanya pandu lalu

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kerajaan Negeri akan membuka permohonan lesen sementara kepada peniaga bagi menjalankan perniagaan di hadapan rumah.

EXCO pembangunan usahawan berkata inisiatif itu diluluskan pada Mesyuarat Exco dua minggu lalu membolehkan mereka berniaga tanpa perlu mencari lokasi lain khususnya di tepi jalan yang dibimbangi boleh mengganggu aliran trafik.

“Usaha ini untuk menggalakkan peniaga-peniaga tampil ke hadapan memohon lesen dan mematuhi beberapa peraturan seperti membuat suntikan (tifoid) jika menjual makanan serta mematuhi aspek kebersihan.

“Lesen itu kita beri setahun dan perlu diperbaharui setiap tiga bulan untuk kita lihat mereka konsisten berniaga atau tidak. Mereka hanya dibenarkan berniaga secara pandu lalu sahaja,” kata Rodziah Ismail ketika Majlis Dialog Grow 2020 di Dewan Jubli Perak semalam.

Beliau menjelaskan menerusi insiatif ini juga peniaga yang konsisten berpeluang ditawarkan tempat yang lebih strategik bagi meneruskan perniagaan sekiranya berminat.

Rodziah berkata pengumuman rasmi mengenai program ini akan dibuat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat.


Pengarang :