AGENDANASIONAL

FAM susun semula perancangan skuad B-19

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Prestasi serta perkembangan skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara tetap akan dipantau rapi, meskipun tidak menyertai sebarang kejohanan tahun ini selepas Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, ditangguh awal tahun depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata pihaknya akan menyusun semula perancangan skuad B-19 negara untuk disesuaikan dengan tarikh baharu kejuaraan yang menawarkan empat slot automatik ke saingan Piala Dunia B-20 2021.

Katanya, kem latihan pusat Fasa 3 sepanjang bulan ini dan siri perlawanan persahabatan yang dirancang turut terbatal susulan penangguhan kejuaraan yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 31 Oktober.

“Di pihak Sekretariat FAM, kami akan menyusun semula perancangan pasukan bersama pihak pengurusan dan juga barisan kejurulatihan. Kami akan maklumkan nanti kepada para peminat dan pihak media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, AFC mengesahkan kejuaraan itu ditangguh susulan impak Covid-19 yang menjejaskan persediaan mereka menganjurkan kejohanan itu, selain mempertimbangkan keperluan untuk mengutamakan kebajikan pemain muda serta risiko perjalanan dan kesihatan mereka.

Sementara itu, Ketua Jurularih U-19 Brad Maloney mengambil maklum penangguhan kejohanan itu secara positif walaupun pasukannya telahpun membuat persiapan awal sejak latihan pusat Fasa Satu pada Julai.

“Ia suatu yang baik untuk abak buah saya, kerana mereka akan dapat berlaih bersama pada Fasa Satu dan Fasa Dua. Pengumuman AFC mengenai kebajikan kesihatan dan keselamatan pemain dan pegawai, kami akan hormatinya,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara Qarar, Tajikistan dan Yemen. Skuad B-19 menyasarkan untuk menjadi pasukan Malaysia pertama layak ke Piala Dunia Bawah 20 secara merit.

-BERNAMA


Pengarang :