Pemain Kebangsaan, Mohamadou Sumareh (kiri) menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-37 bagi menyumbang kemenangan Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi sulung pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada 5 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

FAM tidak terlibat bantu FAS dapatkan khidmat Sumareh

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak pernah memberi lampu hijau kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk memulakan rundingan bagi mendapatkan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh dari Pahang.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam bagaimanapun, mengesahkan Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon ada menghubunginya bagi mendapatkan kepastian berhubung status pemain kelahiran Gambia itu yang mengambil keputusan meninggalkan Pahang selepas dikatakan tidak menerima gaji daripada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP).

“Benar Dr Johan ada menghubungi saya tetapi beliau sekadar bertanyakan status Sumareh dengan Pahang.

“Saya memberi keterangan kepadanya berdasarkan status kes, yang mengikut pemahaman ketika itu, Sumareh sudah membatalkan kontraknya secara sebelah pihak dengan Pahang FA menggunakan klausa tertentu terkandung dalam kontraknya,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut, Stuart menegaskan FAM tidak mempunyai kuasa untuk melibatkan diri dalam rundingan dengan Sumareh yang masih mempunyai kontrak dengan PBNP.

Semalam, media tempatan melaporkan bahawa Dr Johan mendakwa FAS telah diberi ‘lampu hijau’ oleh FAM untuk memulakan rundingan bersama Sumareh.

Dr Johan mendedahkan FAS tidak melanggar peraturan apabila cuba mendapatkan khidmat pemain kelahiran Gambia itu.

Baru-baru ini, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan kontrak perjanjian yang ditawarkan oleh FAS kepada Sumareh untuk menyertai skuad Gergasi Merah bagi musim depan dengan gaji lumayan.

Sumareh sah melengkapkan perpindahan mengejut ke kelab Liga Thailand, Police Tero FC pada 7 Sept lepas, setelah dilaporkan tidak menjalani sesi latihan bersama skuad Tok Gajah selama sebulan, sejak awal Ogos.

Pemain berkenaan yang mempunyai baki kontrak bersama Pahang sehingga 2022, dilaporkan turut tidak menghadiri beberapa aksi Liga Super melibatkan Pahang sebaik saingan Liga Malaysia bersambung pada 26 Ogos.

-BERNAMA


Pengarang :