Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad (tengah) bergambar bersama kakitangan Tourism Selangor dan Suku Mahmeri di Pavilion Selangor ketika Pameran Perdagangan Antarabangsa (Whole 2020) di Pusat Arena SPICE, Pulau Pinang pada 11 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSISELANGOR

FAM Trip bantu promosi produk pelancongan Selangor

BAYAN LEPAS, 12 SEPT: Peranan individu berpengaruh, pengamal media dan penulis blog dalam mempromosikan produk pelancongan di Selangor menyumbang kepada peningkatan kemasukan pelancong domestik ke negeri ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad berkata golongan itu aktif berkongsi keunikan setiap produk dan lokasi pelancongan di medium masing-masing selepas menyertai program FAM Trip menerusi kempen Pusing Selangor Dulu.

“Mereka memberi kerjasama erat setiap kali penganjuran FAM Trip dengan membawa mereka melawat ke tempat pelancongan unik yang berpotensi untuk diketengahkan kepada orang ramai.

“Dengan jumlah pengikut yang ramai di media sosial sehingga ada mencecah jutaan orang, saya yakin ramai teruja untuk mengunjungi Selangor,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi EXCO Usahawan bersama pempamer dan agensi Kerajaan Negeri sempena pameran dan persidangan dunia, hospitaliti, gaya hidup serta hiburan (WHOLE PENANG 2020) di Pusat Arena Spice Pulau Pinang semalam.

Azrul berkata lima daerah di negeri dilawati golongan itu sejak pembukaan semula sektor pelancongan pada 10 Jun antaranya Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Hulu Langat.

“Kita jangka jelajah kempen Pusing Selangor Dulu ke semua daerah di negeri ini akan selesai dalam masa beberapa bulan lagi,” katanya.

Badan pelancongan negeri itu sebelum ini menetapkan sasaran baharu enam juta pengunjung ke Selangor susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia yang menjejaskan sektor berkenaan.


Pengarang :