AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Gangguan bekalan air di Kuala Langat, Sepang pulih berperingkat

SHAH ALAM, 16 SEPT: Bekalan air di sembilan kawasan wilayah Kuala Langat dan Sepang yang terjejas berikutan paip pecah, telah mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan masalah berlaku di Bandar Sri Ehsan berdekatan Masjid KLIA sejak semalam berakhir petang tadi dengan jangkaan semua lokasi terlibat menerima bekalan pada jam 10 malam ini.

“Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air bagi memastikan kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual pulih sepenuhnya.

“Bagi pengguna yang masih mengalami gangguan, bantuan bekalan air melalui lori tangki masih terus digerakkan ke kawasan terlibat. Orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan bekalan boleh menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan kami di talian 15300,” kata Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri.

Air Selangor menyarankan pengguna untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau App Store untuk informasi terkini bekalan air.

Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor di Facebook, Twitter dan Instagram atau layari laman sesawang di www.airselangor.com .


Pengarang :