Para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya tiba membawa peti undi ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan Moyog Penampang di Dewan Kebudayaan Penampang 26 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

GRS menang 38 kerusi, ambil alih Sabah

KOTA KINABALU, 27 SEPT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 semalam.

GRS mendapat 38 kerusi, kelebihan satu kerusi daripada majoriti mudah 37 kerusi di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 73 kerusi sekarang.

GRS terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) yang memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (14 kerusi) dan PBS (tujuh kerusi).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan kedudukan kerusi hasil keputusan pilihan raya itu berkata Warisan memperoleh 29 kerusi, PKR (dua kerusi) dan UPKO (satu kerusi) serta Bebas (tiga kerusi).

Ini menjadikan Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, DAP, PKR dan UPKO mendapat 32 kerusi.

Setakat 1 pagi, siapa yang menjadi ketua menteri baharu belum diketahui lagi dan perbincangan mengenainya masih berlangsung.

Begitu juga, belum ada makluman mengenai upacara mengangkat sumpah ketua menteri baharu setakat ini.

Pilihan raya itu diadakan selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai, sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

“Saya selaku Pengerusi BN Sabah, ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Sabah yang ingin berubah daripada jajahan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“GRS sedang berbincang untuk menentukan hala tuju dan juga masalah lain dan kita akan memastikan kerajaan baharu ini akan telus dan terus membela rakyat Sabah,” kata Bung Moktar pada sidang akhbar di sini.

PRN Sabah yang diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman Covid-19, menyaksikan 66.61 peratus daripada 1.12 juta rakyat Sabah keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat di 73 DUN.

Pada PRN Sabah kali ini, seramai 447 calon mewakili 15 parti dan 56 calon Bebas, termasuk beberapa pemimpin utama seperti Presiden Kehormat Parti Liberal Demokratik (LDP) Tan Sri Chong Kah Kiat dan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, bertanding.

Salleh yang tewas ketika bertanding kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, berjaya merebut kerusi DUN Usukan dengan mengalahkan dua pencabarnya dalam pertandingan tiga penjuru.

Begitu juga dengan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memenangi kerusi baharu DUN Lamag manakala Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor dan Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang berjaya mempertahankan kerusi masing-masing di Sulaman dan Tambunan.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Chong Kah Kiat yang tewas dalam pertandingan 10 penjuru di DUN Inanam manakala Presiden Parti Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ketua Umum USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia, masing-masing tewas di DUN Kiulu dan Pintasan.

– BERNAMA


Pengarang :