AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir 97 peratus kawasan dapat semula bekalan air

SHAH ALAM, 8 SEPT: Sebanyak 1,253 kawasan pulih sepenuhnya daripada gangguan bekalan air setakat jam 6.30 petang tadi.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata 39 kawasan di Klang, Shah Alam, Gombak, Petaling masih dalam proses pemulihan.

“Keseluruhan pulih 96.98 peratus dengan kawasan kumpulan 1 pelan pemulihan beroperasi sepenuhnya. Lapan kawasan kumpulan 2 masih belum mendapat bekalan air yang sepatutnya diterima tengah malam tadi.

“Kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Kuala Selangor menerima bekalan air sepenuhnya manakala Petaling, Gombak serta Kuala Lumpur melebihi 97 peratus. Hanya sekitar Klang dan Shah Alam mencatatkan peratusan pulih kurang 90 peratus iaitu 85.3,” kata Elina Baseri dalam kenyataan petang tadi.

Menurutnya Air Selangor sedang mengambil tindakan menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan yang masih terjejas.

Berikutan itu pengguna dinasihatkan tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar dan mengikut jadual.

Khamis lalu, 1.2 juta pemegang akaun di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.

Gangguan itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang-Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.


Pengarang :