Pengguna jalan raya terpaksa meredah banjir kilat di sekitar Jalan Sultan Ismail ekoran hujan lebat ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 10 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hujan lebat punca Kuala Lumpur banjir kilat

SHAH ALAM, 10 SEPT: Beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat setinggi satu hingga 1.5 meter susulan hujan lebat sekitar jam 2 petang tadi.

Memetik portal BHOnline, lokasi terjejas ialah Lebuh Ampang; Jalan Raja Alang, Kampung Baru dan Jalan Gurney Kiri, Jalan Semarak.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan aduan pertama diterima di Lebuh Ampang pada jam 4.25 petang, yang menyebabkan beberapa motosikal berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan Masjid Jamek ditenggelami air.

“Di Jalan Gurney, kita dapati kawasan itu dilimpahi air setinggi kira-kira tiga meter dan ada 10 mangsa terperangkap dalam kediaman. Semua mangsa dibawa ke tempat selamat sebelum dibenarkan pulang selepas banjir surut,” katanya seperti dilaporkan.

Di Kampung Periuk, Kampung Baru, seramai tiga mangsa dipindahkan daripada kediaman mereka yang dinaiki air dan ditempatkan sementara di Kelab Sultan Sulaiman.

Banjir kilat turut dilaporkan di Lorong Ayer Leleh 5, Setapak dan Jalan San Ah Wing, Jalan Semarak. Insiden sama berlaku di Balai Polis Gombak yang dilimpahi air setinggi setengah meter dan terpaksa ditutup hampir dua jam.

 


Pengarang :