Selangorkini
ADN SELANGOR

Ibu tunggal terima bantuan ADN Morib, baik pulih rumah

SHAH ALAM, 1 SEPT: Penderitaan seorang ibu tunggal berakhir bulan lalu selepas Ahli Dewan Negeri Morib menghulurkan bantuan RM15,000 menampung kos membaik pulih rumahnya di Kanchong Darat, Banting dekat sini.

Masrubi Ruhani, 45, berkata bantuan daripada Hasnul Baharuddin itu amat dihargai kerana sepanjang bergelar ibu tunggal dan menanggung empat anak masih bersekolah, dia tidak pernah meminta bantuan sebaliknya berusaha membesarkan anak-anak.

“Dulu memang terima bantuan zakat (Lembaga Zakat Selangor) tapi wang itu masuk ke akaun bekas suami. Saya pun tak kemas kini rekod diri tapi zakat dah bantu betulkan.

“Saya hargai bantuan semua pihak terutama YB yang prihatin dengan kesusahan kami dan beliau yang uruskan semuanya. Anak-anak gembira dapat hidup lebih selesa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

 

Selain rumah dibaiki, Masrubi yang bekerja sebagai pembantu kedai turut dibantu mendapatkan bantuan Kasih Ibu Smart Selangor serta didaftarkan sebagai asnaf miskin.

Sebelum ini, beliau menjelaskan pelbagai masalah dihadapi bersama anaknya terutama musim tengkujuh berikutan keadaan rumah didiami tidak berdinding selain bumbung bocor.

“Tiap kali hujan lebat pasti saya dan anak-anak menangis sama-sama. Kami juga terpaksa bertungkus lumus alihkan barang-barang sebab banyak bumbung bocor dan tempat tidur sentiasa berubah.

“Bila hujan sekali ribut petir, saya minta anak-anak azan dalam rumah dengan harapan hujan berenti. Sepanjang dua tahun ini tiap kali hujan saya dan anak-anak trauma, risau perkara buruk berlaku,” katanya.


Pengarang :