Orang ramai melakukan pendaftaran masuk di kaunter sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 10 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Individu pulang dari Sabah wajib jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 26 SEPT: Individu pulang dari Sabah akan menjalani saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa bermula esok sehingga 10 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu bagi mencegah penularan wabak dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan dari negeri tersebut.

“Mereka diwajibkan mendaftar aplikasi MySejahtera setibanya di pintu masuk antarabangsa dan kemudian akan menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan Covid-19.

“Kita turut mengarahkan mereka menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) di rumah dari tarikh ketibaan sehingga keputusan makmal diperoleh. Pelepasan HSO diberikan sekiranya ujian makmal menunjukkan negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua individu di pintu masuk antarabangsa akan diberi surat HSO dan perlu memakai gelang kuarantin.

“Saringan ke atas individu (warganegara dan bukan warganegara) yang pulang dari Sabah dikecuali caj ujian Covid-19,” katanya.

Malaysia merekodkan 82 kes baharu Covid-19 hari ini dengan 79 daripadanya jangkitan tempatan manakala tiga kes import.

Daripada jumlah keseluruhan Sabah merekodkan sebanyak 64 kes, Kuala Lumpur (enam), Negeri Sembilan (tiga), Selangor dan Terengganu (masing-masing dua) serta Pahang, Melaka, Johor, Sarawak dan Labuan (masing-masing satu).


Pengarang :