AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Istana Negara sahkan majlis Anwar menghadap Agong ditangguh

SHAH ALAM, 23 SEPT: Istana Negara mengesahkan majlis Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri menghadap Yang di-Pertuan Agong yang dijadual semalam ditangguh susulan baginda gering.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan terus menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Daim Zainuddin, menteri Kabinet dan individu-individu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda.

“Baginda turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi tatacara operasi piawai kerana negara masih menghadapi ancaman Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baginda turut menitahkan semua pihak mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara supaya dikurniakan keberkatan daripada Allah SWT.

Dalam sidang media di ibu kota hari ini, Anwar menjelaskan beliau mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong tetapi ditangguh.

Beliau turut mengumumkan Pakatan Harapan mendapat sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti yang “kukuh dan meyakinkan”.

 


Pengarang :