Timbalan Pengarah Kesihatan Selangor, Dr B Venugopalan bercakap ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Isu kanak-kanak kurang zat makanan perlu dipandang serius

SHAH ALAM, 7 SEPT: Isu kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR) perlu dipandang serius semua pihak, kata timbalan pengarah kesihatan Selangor (kesihatan awam).

Dr B Venugopalan berkata perkara tersebut merupakan masalah tersembunyi yang memerlukan kerjasama semua serta segera diatasi sekiranya mahu usaha mewujudkan bandar berdaya huni berjaya.

“Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada dua tahun lalu mendapati pemakanan kanak-kanak di PPR kurang seimbang dan kurang zat makanan.

“Susulan laporan ini, Jabatan Kesihatan Selangor turun padang melakukan kajian di PPR Kota Damansara dan mendapati isu ini benar-benar berlaku, ” katanya ketika menjadi panel Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau berkata pihak berkaitan perlu turun padang melakukan kaji selidik sejauh mana isu tersebut berlaku dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

“Program pemulihan kanak-kanak kekurangan zat boleh dilakukan tetapi ia perlu dilakukan sebelum umur dua tahun, jadi adalah wajar kita turun padang mendekati golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata kajian pihaknya mendapati kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai wang cukup untuk memastikan anak-anak mendapat makanan berkhasiat yang cukup.

“Zat makanan memainkan peranan signifikan dalam perkembangan pertumbuhan fizikal dan mental kanak-kanak. Makanan di awal usia amat penting kerana ia akan membentuk anak itu pada kemudian hari,” katanya.


Pengarang :