Foto Arkib Selangorkini
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais lancar Evokhutbah, beri peluang masyarakat tulis khutbah

SHAH ALAM, 12 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melancarkan sistem dalam talian penulisan khutbah dikenali Evokhutbah untuk memberi peluang masyarakat Islam menyumbang idea penulisan khutbah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata Evokhutbah selaras aspirasi Selangor sebagai Negeri Pintar yang berperanan sebagai pembimbing membantu penulis khutbah menghasilkan karya dan citra agama Islam untuk membina jiwa nurani rakyat dalam tempoh bacaan 15 minit.

“Kaedah penulisan yang padat dengan huraian tepat dan jelas dapat dilakukan menggunakan sistem ini. Jawatankuasa khutbah negeri akan memperhalusi idea yang disumbang tanpa mengubah susunan fakta, bahasa, jalan cerita dan plot penceritaan peribadi penulis asal.

“Sistem ini menjadikan pemilihan dan penerbitan teks khutbah dapat dilaksanakan lebih pantas serta sistematik berbanding secara manual yang mengambil tempoh masa lama untuk diproses menjadi teks khutbah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata penyertaan terbuka kepada individu beragama Islam (lelaki dan wanita) warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

“Bagi penulisan khutbah yang lulus untuk dibacakan, penulis akan menerima insentif bernilai RM400 bagi teks khutbah Jumaat manakala RM600 bagi penulisan teks khutbah hari raya.

“Mereka yang berminat boleh menghubungi Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid JAIS di talian 03-5514 3673 atau menghantar kiriman emel kepada [email protected],” katanya.


Pengarang :