Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad bercakap kepada media ketika ditemui pada Majlis Mesra Media Jais di Shah Alam Convention Centre pada 21 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jais terima 17 teks khutbah hasil idea orang ramai

SHAH ALAM, 30 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerima sebanyak 17 teks khutbah hasil idea masyarakat sejak sistem Evokhutbah dilancarkan pada 12 September.

Pengarahnya berkata sistem tersebut membuka ruang orang ramai menyumbang idea penulisan khutbah berkualiti yang akan dibaca di seluruh masjid negeri ini.

“Sistem Evokhutbah membantu penulis khutbah menghasilkan karya dan citra Islam terbaik serta jelas dalam tempoh bacaan 15 minit.

“Jawatankuasa khutbah negeri akan memperhalusi sumbangan idea tanpa mengubah susunan fakta, bahasa, jalan cerita dan plot penceritaan peribadi penulis asal,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini hari ini.

Penyertaan terbuka kepada individu beragama Islam (lelaki dan wanita) warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan penulisan khutbah lulus untuk dibacakan bakal menerima insentif RM400 bagi teks khutbah Jumaat manakala RM600 (teks khutbah hari raya).

Mereka yang berminat boleh menghubungi Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid JAIS di talian 03-5514 3673 atau menghantar kiriman emel kepada [email protected]


Pengarang :