EXCO Pelaburan, Dato’ Teng Chang Khim berucap pada sesi teklimat pembinaan persimpangan bertingkat Di Jalan Meru. Foto Facebook Teng Chang Khim
EXCOSELANGOR

Jambatan bertingkat: Penduduk boleh kemuka cadangan lebih baik

SHAH ALAM, 13 SEPT: Persatuan penduduk diberi tempoh seminggu untuk mengemukakan cadangan lebih baik berhubung pembinaan jambatan bertingkat di persimpangan Bandar Meru dan Bandar Bukit Raja.

EXCO Pelaburan, Dato’ Teng Chang Khim berkata beliau bersedia memberi peruntukan RM50,000 untuk membiayai kos melantik perunding dengan syarat cadangan yang dikemukakan mereka dipersetujui Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

“Sekiranya dalam tempoh seminggu penduduk boleh mengemukakan cadangan lebih baik dan dipersetujui JKR, saya akan beri bantuan kewangan RM50,000 untuk mereka melantik perunding.

“Jambatan bertingkat tetap akan dibina tetapi aliran trafik berlainan iaitu lori tidak lagi perlu masuk ke kawasan perumahan Bandar Baru Bukit Raja. Lori dan trak akan buat pusingan U berdekatan Klang Sentral,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan persatuan penduduk di Bandar Bukit Raja sebelum ini membuat aduan berhubung cadangan asal projek kerana mereka mendapati lori dan trak akan masuk ke kawasan perumahan untuk membuat pusingan U dan keadaan itu menimbulkan gangguan selain membahayakan keselamatan.

Terdahulu Chang Khim hadir sesi taklimat pembinaan persimpangan bertingkat berkenaan kepada penduduk Bandar Bukit Raja, Klang di Dewan Hamzah MPK pagi tadi.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan sesi taklimat berkenaan dan hampir 30 persatuan penduduk dijemput,” katanya.

Menurut Chang Khim pembinaan jambatan bertingkat membabitkan kos RM80 juta itu ditanggung sepenuhnya oleh Sime Darby selaku pemaju. Ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun.


Pengarang :