Keadaan sistem saliran awam yang tercemar berikutan pembuangan sisa industri oleh sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Hi-Tech Semenyih. – Foto Facebook SPAN
AGENDANASIONAL

JAS: Lebih 2,800 tindakan terhadap kilang cemarkan alam sekitar, air

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan 66 Op Gempur, membabitkan 2,398 kilang daripada pelbagai jenis industri bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos lalu, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,819 tindakan dikenakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk kesalahan berkaitan pencemaran air.

“Isu jenayah alam sekitar ini bukan sahaja mengancam kelestarian negara dan kesihatan manusia, tetapi turut menggugat keselamatan negara secara amnya,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan Senator N Balasubramaniam yang bertanyakan tentang langkah yang dilaksanakan kementerian dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap kilang bagi mengelakkan berlakunya pencemaran khususnya air sungai.

Menurut Ahmad Masrizal, Op Gempur ialah operasi terhadap kilang yang dilakukan secara besar-besaran dengan kerjasama pelbagai agensi dan dibuat secara rawak berdasarkan beberapa kriteria tertentu.

Katanya, berdasarkan rekod JAS, terdapat 57,396 kilang yang menjalankan pelbagai jenis aktiviti perindustrian beroperasi di seluruh negara dengan 3,480 daripadanya menghasilkan influen perindustrian.

Selain itu, katanya berdasarkan rekod kementerian, sebanyak 48 kertas siasatan dibuka untuk didakwa di mahkamah dengan 39 premis disabitkan kesalahan dengan jumlah denda keseluruhan lebih RM1 juta.

Tambahnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas, jumlah keseluruhan kadar kompaun dan denda yang dikenakan oleh mahkamah ialah lebih RM2 juta.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk A Kesavadas yang bertanyakan sama ada kerajaan merancang mengadakan undang-undang lebih keras terhadap pesalah pencemaran air mentah.

-BERNAMA


Pengarang :