Hee Loy Sian meninjau kerja pembersihan di lokasi pencemaran oleh petugas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak di KM 389.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala Kuala Lumpur pada 29 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

JAS: Tiada hak eksklusif urus buangan terjadual

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Tiada hak eksklusif dilesenkan kepada mana-mana Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual (PYDT BT) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengendalikan buangan terjadual di negara ini.

Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar menegaskan, setakat ini, jabatan itu melesenkan Kemudahan Pemerolehan Kembali, Pengolahan dan Pelupusan Terjadual di seluruh negara yang melibatkan 406 kemudahan (PYDT BT) dan 343 pengangkut.

“Ia bagi memastikan pengurusan buangan terjadual adalah berkesan dan memenuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

“Semua industri dan punca yang menghasilkan buangan terjadual hendaklah menguruskan buangan berkenaan dengan sempurna dari segi notifikasi, maklumat ciri buangan, penstoran, pelabelan, inventori dan maklumat pergerakan buangan terjadual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norlin berkata pengurusan buangan perlu direkodkan melalui sistem dalam talian iaitu Sistem Maklumat Elektronik Buangan Terjadual atau eSWIS, selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Semalam, tular di media sosial mengenai dakwaan kerajaan memberi hak eksklusif kepada beberapa syarikat untuk mengumpul sisa terjadual dan syarikat terlibat mengenakan bayaran tinggi terhadap premis yang ingin mendapat perkhidmatan tersebut.

Norlin turut menegaskan JAS tidak terlibat dalam penetapan kos dan sebarang bayaran yang dikenakan ke atas pengeluar buangan adalah ditetapkan oleh PYDT BT yang dilesenkan.

Beliau berkata, hak eksklusif yang pernah diberikan kerajaan adalah bagi operasi ‘Centralized Integrated Scheduled Waste Management Centre’ kepada Kualiti Alam Sdn Bhd selama 15 tahun bermula 1 Mac 2000 dan tamat pada 28 Feb 2015.

Tambahnya, kerajaan bercadang untuk membina lima kemudahan pengurusan sisa bersepadu di Johor, Perak, Terengganu, Sabah dan Pulau Pinang bagi memastikan sisa buangan berjadual dapat diurus dengan lebih baik dan sempurna.

-BERNAMA


Pengarang :