EXCO baharu Borhan Aman Shah menandatangani watikah pelantikan dengan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Dato’ Indera Haji Abd Halim Aman dalam Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Istana Alam Shah, Klang pada 17 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jawatan EXCO kukuhkan pentadbiran, galas amanah rakyat

KLANG, 17 SEPT: Dua muka baharu EXCO Selangor menyifatkan jawatan yang disandang bukan untuk bermegah sebaliknya diiringi tanggungjawab besar untuk mengukuhkan pentadbiran negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah berjanji akan menggalas amanah diberikan dengan baik bagi memastikan nasib rakyat sentiasa terbela.

“Saya menzahirkan kesyukuran dan ribuan terima kasih kepada tuanku kerana memberi kepercayaan menggalas jawatan dan akan membalas kepercayaan ini dengan berkhidmat sedaya mampu,” katanya.

ADN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN negeri Dato’ Seri Amirudin Shari kerana memberi peluang untuk menyumbang kepada negeri.

“Saya akan gunakan pengalaman dan ilmu yang saya ada untuk mengukuhkan pentadbiran negeri selain memastikan pembangunan negeri seiring dengan pengembangan agama Islam,” katanya.

Borhan dan Mohd Zawawi mengangkat sumpah sebagai EXCO di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri Istana Alam Shah, hari ini.

Pada 5 Mac pentadbiran Kerajaan Negeri tidak lagi dianggotai Bersatu selepas mengambil kira dinamik politik semasa peringkat Persekutuan.

Susulan itu ADN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari tidak lagi memegang jawatan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

Perubahan politik turut menyaksikan jawatan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar kosong susulan pelucutan keahlian Haniza Mohamed Talha dalam KEADILAN dengan syor Lembaga Disiplin ketika mesyuarat bulanan pada 28 Jun.


Pengarang :