Caption: Kerja pembersihan kawasan terjejas ribut di sekitar Sepang pada 22 September lalu. Foto MPSepang
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

JPBD Sepang bertindak segera bersih, baik pulih kawasan terjejas ribut

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kerja pembersihan dan baik pulih kawasan yang terjejas akibat ribut sekitar Sepang dilakukan sejurus laporan diterima pada 4.15 petang, Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sepang Mohamad Zain A Hamid berkata 123 kediaman membabitkan tujuh kampung dengan lima daripadanya kampung Orang Asal dilapor mengalami kerosakan.

“Operasi pembersihan, pembaikan dan menghulurkan bantuan segera di lokasi yang terjejas bencana dengan memberikan keutamaan kepada sistem perhubungan seperti jalan raya, laluan keluar masuk penduduk dan infrastruktur awam serta pembaikan bekalan elektrik.

“Selain itu, operasi pembersihan melibatkan kediaman penduduk yang mengalami kerosakan besar (turut dilakukan) dan majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) juga digerakkan untuk membantu operasi pembersihan kecil kediaman terjejas secara gotong-royong,” katanya dalam kenyataan.

Kawasan terlibat kejadian pokok tumbang dan hujan batu adalah Kampung Desa Putra, Kampung Limau Manis, Kampung Sungai Merab, Kampung Jenderam Hilir, Kampung Sungai Buah dan Kampung Jenderam Hulu.

Selain itu, turut terjejas ialah Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kampung Orang Asal Bukit Dugang, Kampung Orang Asal Bukit Jenuk, Kampung Orang Asal Sungai Buah serta Kampung Orang Asal Batu 28 Jenderam Hilir.


Pengarang :