Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Ruslin Jusoh (kanan) beramah mesra dengan warga emas, Zainab Kasim (kiri) semasa menyerahkan MyKad kepada warga emas tersebut dan anaknya, Samsuri Mat Khamis di kediamannya di Kampung Awak, Teluk Bahang pada 17 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JPN galak orang ramai buat urusan dokumen dalam talian

BALIK PULAU, 17 SEPT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggalakkan orang ramai yang mahu membuat pelbagai urusan dokumen seperti pengenalan diri, kelahiran dan perkahwinan melakukannya menerusi sistem permohonan dalam talian.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Ruslin Jusoh berkata sistem dalam talian itu hanya menuntut seseorang individu berkenaan hadir ketika mengambil dokumen baharu yang dipohon selepas ia siap dan sekali gus dapat menjimatkan masa.

“Setakat ini sambutan bagi permohonan dalam talian ini amat menggalakkan, ramai yang sudah mula memahami akan permohonan dalam talian ini. Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19 ini memang kita galakkan orang ramai menggunakan medium permohonan dalam talian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan MyKad kepada seorang ibu tunggal Zainab Kasim, 78, dan anaknya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar, Samsuri Mat Khamis, 46, di Kampung Teluk Awak, Teluk Bahang hari ini.

Pelaksanaan sistem permohonan dalam talian itu yang bermula Julai lepas merupakan satu usaha JPN dalam memastikan rekod pendaftaran warganegara sentiasa dikemas kini dan teratur, sejajar dengan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam.

Ruslin berkata Zainab yang uzur dan anak OKU yang terlantar itu mempunyai kekangan dan halangan untuk datang ke Pejabat JPN yang berhampiran bagi memohon MyKad mereka yang baharu.

“JPN Pulau Pinang melalui Program Mengenai Kasih Rakyat (Mekar) membantu Puan Zainab dan anak beliau yang OKU memproses permohonan gantian MyKad. Proses gantian MyKad tanpa perlu hadir ke kaunter memberikan kegembiraan buat mereka sekeluarga kerana tidak perlu bersusah payah hadir ke pejabat JPN,” katanya dan menambah ibu tunggal itu merupakan penerima ke-94 Program Mekar di Pulau Pinang.

Beliau berkata JPN sentiasa berusaha membantu golongan yang memerlukan khususnya warga emas, OKU, pesakit terlantar dan lain-lain lagi bagi memproses permohonan MyKad antaranya melalui program turun padang.

Sementara itu Zainab menzahirkan rasa syukur kerana akhirnya memperoleh kad pengenalan baharu kerana kadnya sebelum ini telah rosak dan pudar sehingga tidak nampak wajahnya. Manakala kad pengenalan baharu bagi Samsuri ditukar berikutan kad pengenalan lamanya tidak dapat digunakan lagi kerana tamat tempoh penggunaannya sejak 1999.

“Alhamdulilah akhirnya dapat juga makcik dan anak MyKad yang baharu. Sebelum ini kami tidak dapat nak buat kerana kena menaiki bas. Bas pula bukan senang sekarang, susah dapat bas. Lagi pula anak saya sedang terlantar jadi ia menyukarkan urusan saya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :