Papan tanda peringatan untuk mengekang penularan Covid-19 diletakkan di sebuah pusat membeli-belah sebagai langkah pencegahan ketika tinjauan pada 29 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah individu ingkar PKP turun, 82 ditahan semalam – menteri

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Bilangan individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menunjukkan penurunan berbanding 661 individu pada Ahad apabila hanya 82 individu ditahan semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesalahan itu merangkumi 46 individu ditahan atas kesalahan tidak mematuhi penjarakan fizikal, 23 individu tidak memakai pelitup muka, 12 individu gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri dan seorang ditahan ketika sedang berhibur di kelab malam.

“Daripada jumlah itu, 75 individu dikompaun, enam direman dan satu dijamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu bagi Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 29 pendatang tanpa izin dan dua penyeludup ditangkap, manakala sebuah bot serta empat kenderaan darat dirampas hasil 81 sekatan jalan raya yang diadakan semalam.

“Sejak 1 Mei lepas hingga semalam, seramai 7,389 individu ditahan melibatkan 750 tekong, 6,344 pendatang tanpa izin dan 295 penyeludup,” katanya.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata pada masa ini terdapat 8,671 individu yang pulang dari luar negara sedang menjalani kuarantin di hotel serta institut latihan awam dan institusi pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

Mereka merupakan antara 37,133 individu yang pulang ke tanah air menerusi pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas hingga semalam.

Daripada jumlah itu juga seramai 106 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 28,356 telah didiscaj dan dibenarkan pulang, katanya.

Beliau juga berkata sejak 30 Mac hingga semalam, 10,153 operasi sanitasi awam melibatkan 13,062 premis dilaksanakan iaitu 2,716 pusat perniagaan, 1,601 kawasan perumahan antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR); 2,623 tempat awam; 354 pasar raya dan 5,768 bangunan kerajaan.

Bagi mengurangkan kegusaran orang ramai terhadap barangan keperluan harian, Ismail Sabri memberi jaminan bahawa barangan itu mencukupi dan mampu menampung permintaan dalam negara secara berterusan selain mudah diperoleh.

-BERNAMA


Pengarang :