Anggota wanita Tentera Laut Diraja Malaysia, Siti Naima Jibri mengundi dengan keadaan kebiasaan baru mengikut panduan Pencegahan Covid-19 pada proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sabah di Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia pada 22 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kajian: Warisan Plus dahului GRS, 31 kerusi lagi sukar dijangka

SHAH ALAM, 25 SEPT: Warisan Plus mendahului parti lain dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah berdasarkan dapatan badan penyelidik Ilham Centre.

Gabungan itu mendahului dengan 23 kerusi yang dikategori pasti menang (clear winner) diikuti rapat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan 19 kerusi.

Namun, tinjauan sejak seminggu sebelum hari penamaan calon sehingga semalam menunjukkan 31 kerusi lagi masih terbuka, malah calon bebas dan parti lain turut berpeluang menang.

“Kerusi dalam kategori 50-50 ini merupakan penentu kepada mana-mana pihak untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah sebanyak 37 kerusi bagi membentuk Kerajaan Negeri yang baharu,” kata badan penyelidik itu.

Daripada 31 kerusi, Ilham Centre juga mendapati 14 kerusi cenderung kepada Warisan Plus berbanding lima kerusi yang cenderung kepada GRS. Sebanyak 12 kerusi lagi sangat sengit dan sukar dijangka.

“Mana-mana pihak yang berjaya memberi imbuhan dan pujukan kepada pengundi pada saat-saat akhir mampu menjadi faktor kemenangan kepada mereka,” katanya dalam ringkasan Pola Pengundian PRN Sabah hari ini.

Seramai 1,088,711 orang layak mengundi esok. Seramai 447 calon termasuk 56 calon Bebas bertanding merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk 13 kerusi baharu. Pilihan raya berkenaan susulan pembubaran dewan pada 30 Julai lalu.


Pengarang :