Pegawai kesihatan Malaysia mengedarkan risalah kepada penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 21 Januari 2020 ketika pihak berkuasa meningkatkan langkah mencegah koronavirus. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Kakitangan ibu pejabat JKR positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) di ibu pejabat JKR di Jalan Sultan Salahuddin disahkan positif Covid-19, semalam.

JKR dalam kenyataan hari ini berkata individu terbabit dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian swab secara rawak di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak Isnin lepas (14 Sept).

Menurut jabatan itu, petugas terbabit pergi ke Kuching untuk menghadiri satu mesyuarat di JKR Sarawak dan menginap di sebuah hotel.

“Dalam perjalanan pulang, pihak Hospital Kuching telah menghubungi beliau dan memaklumkan beliau positif Covid-19.

“Beliau telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk rawatan lanjut sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam,” demikian menurut kenyataan itu.

Susulan kes itu, JKR telah mengemukakan senarai nama kontak rapat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan mereka akan menjalani saringan kesihatan serta kuarantin di rumah.

Selain itu, JKR juga mengambil langkah proaktif dengan menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran.

KKM hari ini merekodkan 21 kes baharu Covid-19 termasuk satu kes saringan di pintu masuk antarabangsa di Sarawak.

-BERNAMA


Pengarang :