AGENDANASIONAL

Kapasiti tidak mencukupi jejaskan kargo udara pada Ogos

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) telah mengeluarkan data untuk pasaran kargo udara global pada bulan Ogos, ia mencatat peningkatan yang perlahan kerana kekurangan kapasiti.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata permintaan kargo udara bertambah 1.8 mata peratusan pada bulan Ogos berbanding Julai.

“Ia masih turun 12.6 peratus pada paras dicatatkan tahun sebelumnya dan di bawah peningkatan sebanyak 5.1 peratus dalam Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan.

“Peningkatan terhenti oleh kekangan kapasiti kerana sebahagian besar pesawat penumpang tidak beroperasi, pada kebiasaannya ia membawa sebanyak 50 peratus untuk kargo,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

De Juniac berkata musim puncak kargo udara akan bermula pada minggu-minggu akan datang, tetapi dengan kekangan kapasiti yang teruk, pengirim mungkin mencari alternatif lain seperti laut dan kereta api untuk memastikan ekonomi global bergerak.

Mengenai prestasi serantau, IATA berkata syarikat penerbangan di Asia Pasifik menyaksikan permintaan untuk kargo udara antarabangsa merosot sebanyak 18.3 peratus pada bulan Ogos tahun ini berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Selepas pemulihan pada bulan Mei, beliau berkata pertumbuhan bulan ke bulan dalam permintaan yang disesuaikan dengan musim berkurangan untuk bulan kedua berturut-turut.

Kapasiti antarabangsa terjejas di rantau ini, turun sebanyak 35 peratus, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :