Datuk Hans Isaac bercakap ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Karyawan perlu ada minda niaga untuk bangunkan industri kreatif

SHAH ALAM, 8 SEPT: Pengkarya seni mesti mempunyai dua corak pemikiran untuk berjaya lebih jauh dalam industri kreatif, kata Datuk Hans Isaac.

Bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berkata memberi tumpuan kepada sesuatu perkara sahaja iaitu bidang kreatif tanpa memikirkan soal perniagaan tidak akan membawa mereka ke mana-mana.

“Mesti ada dua corak pemikiran iaitu perniagaan dan kreatif. Pemikiran bahawa kreatif adalah segala-galanya pada saya salah kerana ia tidak boleh membawa kamu berjaya 100 peratus.

“Contohnya saya arahkan sebuah filem dulu, saya nak konsep tertentu tetapi tak dapat buat kerana penerbit eksekutif kata tak ada duit, jadi saya pakai gaji sendiri untuk dapatkan konsep itu. Saya hilang sesuatu untuk dapatkan apa yang saya mahukan,” katanya ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam.

Mengulas soal keperluan Lembaga Penapis Filem (LPF), beliau berkata biarpun tidak setuju sepenuhnya namun badan tersebut masih relevan untuk menghormati unsur berkaitan perbezaan agama dan budaya.

Namun tegasnya, mesti ada pemahaman antara pengarah filem dan individu dalam LFP itu sendiri dari segi pemotongan sesuatu babak atau adegan.

“Jika berada dalam LPF, saya akan buat dua jenis potongan iaitu satu untuk tayangan dalam negara dan satu luar negara. Pada saya mesti ada penjenamaan yang baik, kerana ini turut melibatkan ekonomi dan pelancongan,” katanya.

“Kita mesti contohi Korea Selatan yang kini berjaya menang anugerah Oscar tetapi nak menang bukan main cakap sahaja, kena ada pembangunan menyeluruh dan asas kukuh.”


Pengarang :