Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media pada 23 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KEADILAN dakwa Muhyiddin ‘sudah hilang majoriti’

SHAH ALAM, 25 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah hilang majoriti ahli parlimen susulan peralihan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua penerangan parti itu berkata presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara perundangannya telah hilang keabsahan sebagai perdana menteri.

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut beliau “dimaklumkan ramai ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional menyatakan sokongan.”

Justeru, KEADILAN menggesa Muhyiddin, yang mendapat sokongan tipis di Dewan Rakyat, “berundur dengan cara terhormat”.

“Muhyiddin sewajarnya berundur serta meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dengan cara yang terhormat memandangkan sokongan majoriti ahli parlimen kini telahpun beralih kepada Anwar,” kata Shamsul Iskandar dalam kenyataan hari ini.

“Dengan sokongan penuh ahli parlimen Umno kepada beliau (Muhyiddin) sebelum ini, Muhyiddin hanya mempunyai selisih majoriti dua orang ahli parlimen sahaja,” tambahnya.

Kelmarin, Zahid juga berkata Umno dan BN tidak dapat menghalang mana-mana ahli parlimennya yang menyokong presiden KEADILAN untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau membuat kenyataan itu beberapa jam selepas Anwar mengumumkan sudah mendapat majoriti yang “kukuh dan meyakinkan” bagi menumbangkan kerajaan sekarang. Namun, Anwar tidak mendedahkan jumlah sokongan ahli parlimen kepadanya.


Pengarang :