Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berucap ketika Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma, Ampang pada 26 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN pertikai kelulusan daftar Perikatan Nasional

SHAH ALAM, 14 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mempersoal kelulusan pendaftaran Perikatan Nasional berikutan ketiadaan maklumat dalam laman sesawang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Justeru, ketua penerangannya mencabar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan kelulusan rasmi itu kepada umum kerana gabungan tersebut meletakkan calon pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

“Sekiranya calon-calon yang mewakili sebuah pertubuhan haram dibenarkan untuk bertanding, ini merupakan satu penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan juga buat rakyat khususnya warga Sabah,” kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil tindakan serta-merta termasuk membatalkan pencalonan semua calon yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional jika benar gabungan itu belum didaftar secara rasmi.

“Pilihan raya adalah platform penting buat rakyat untuk menggunakan hak mereka sebagai warganegara. Mereka berhak untuk memilih calon dari parti yang sah di sisi undang-undang untuk menjadi wakil seterusnya membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Pada 10 Ogos lalu, naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, sebuah parti dalam gabungan itu, Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan PN sudah menghantar permohonan pendaftaran antara 3 hingga 7 Ogos.


Pengarang :