Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan ketika Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma, Ampang pada 26 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN sanggah PM, bantuan bukan alat raih undi

SHAH ALAM, 18 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini mendesak perdana menteri supaya tidak menjadikan bantuan sebagai alat memancing undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata rakyat negeri itu berhak memilih mana-mana parti yang diingini tanpa pengaruh pendekatan “cash is king” (wang itu segala-galanya).

“Perdana menteri seharusnya tidak menggunakan isu bantuan untuk meraih undi. Beliau harus menjadi perdana menteri untuk semua negeri dan rakyat Malaysia, bukan hanya negeri yang ditadbir parti Kerajaan Persekutuan atau mereka yang mengundi parti Kerajaan Persekutuan.

“Jika beliau enggan bantu negeri-negeri pada kadar dan keperluan yang sepatutnya, saya rasa wajar beliau berundur daripada menjadi perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di Kudat hari ini berkata lebih banyak bantuan disalurkan kepada Sabah jika kepimpinan kerajaan negeri selari dengan Kerajaan Persekutuan, lapor Bernama.

Perdana menteri berkata buat masa ini, bantuan kepada Negeri di Bawah Bayu setakat yang diwajibkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana pentadbiran tidak sehaluan dengan Putrajaya.

Rakyat Sabah akan memilih 73 calon pada 26 September ini. KEADILAN yang bergabung dengan Warisan Plus bertanding di tujuh kerusi.

Fahmi, ahli parlimen Lembah Pantai, turut mempertikai amalan “cash is king” yang dahulunya menjadi kecaman Muyhiddin terhadap kerajaan Barisan Nasional.

“Amalan yang dahulunya ditegur dan dilawan perdana menteri sendiri malangnya kenyataan beliau (kini) mirip apa yang ditegur dan lawan dahulu. Apa sudah jadi?

“Saya percaya rakyat Sabah cukup matang dalam menilai yang mana kaca, yang mana permata,” katanya lagi.


Pengarang :