Keadaan semasa struktur binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika tinjauan pada 21 September 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kementerian: Tunggu laporan CIDB insiden konkrit timpa kereta, ambil tindakan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kementerian Kerja Raya sedang menunggu hasil siasatan penuh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), berhubung insiden kereta ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) minggu lalu, sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara siasatan melibatkan perspektif reka bentuk, struktur lebuh raya, aspek pemantauan keselamatan dan pengurusan trafik, di kawasan berkenaan.

“Kita akan dapatkan dahulu laporan daripada CIDB dan DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan kita akan nyatakan tindakan yang akan diambil kemudian,” katanya pada Sesi Libat Urus Penggiat Industri bersama lebih 40 wakil syarikat dan persatuan, di sini, hari ini.

Sabtu lepas, seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang itu, mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM), untuk rawatan.

-BERNAMA


Pengarang :