EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail melawat ke tapak Food Truck Drawbridge, Kuala Terengganu pada 20 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kendera saji Jambatan Angkat Terengganu tarik 2,000 pengunjung

KUALA TERENGGANU, 22 SEPT: Kendera saji (food truck) Jambatan Angkat menjadi tarikan terbaharu di Terengganu kerana menyediakan pelbagai makanan termasuk menu tradisi setempat.

Pengerusi Persatuan Food Truck Terengganu, Fadzli Abdul Karim berkata lokasi itu tumpuan sehingga dikunjungi lebih 2,000 pengunjung dalam sehari.

“Selain menjadi tumpuan masyarakat Terengganu, tapak kendera saji ini turut dikunjungi pengunjung luar kerana menyediakan makanan pada harga berpatutan iaitu serendah RM5 sehingga RM20.

“Uniknya lokasi ini juga menjual menu-menu popular Terengganu seperti keropok lekor dan nasi dagang, jadi buat pengunjung luar dari negeri ini, bolehlah datang ke sini kerana kami menyediakan pelbagai menu yang enak-enak,” katanya ketika Program Lawatan EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail ke Tapak Food Truck Drawbridge, Ahad lalu.

Ahli Persatuan Food Truck Terangganu T-TRAK bergambar di tapak Food Truck Drawbridge, Kuala Terengganu pada 20 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau menambah sejak dibuka Julai lalu, terdapat lebih 30 pemilik perniagaan berkenderaan dari seluruh negeri beroperasi di lokasi yang dibuka pada setiap Khamis hingga Ahad.

Selain tapak kendera saji, rombongan Rodziah turut dibawa melawat kilang pemprosesan keropok dan rempah ratus, pembuatan anyaman serta sesi dialog bersama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.


Pengarang :