Orang ramai mematuhi arahan mengenakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan belum putuskan PKPD di Lahad Datu, Tawau

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerajaan belum menetapkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Lahad Datu dan Tawau, Sabah susulan penularan jangkitan Covid-19 setakat ini terkawal.

Menteri kanan (keselamatan) berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring 3,981 individu dengan 331 kes positif di Tawau manakala 89 individu positif menerusi saringan 1,421 di Lahad Datu sehingga semalam.

“305 daripada 331 kes positif di Tawau merupakan banduan manakala 86 daripada 89 kes sama di Lahad Datu pula OKT (orang kena tahan) di lokap,” kata Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan KKM akan membuat saringan secara bersasar melibatkan 25,000 individu di Tawau dan 13,000 individu di Lahad Datu.

Selain itu, kementerian itu juga mengenal pasti lokasi terlibat dengan Kluster Benteng Lahad Datu dan Kluster Laut antaranya mukim Sri Tanjung (tujuh lokasi), mukim Wallace Bay (satu lokasi) dan mukim Merotai (enam lokasi).

Ismail Sabri berkata Majlis Keselamatan Negara dan KKM turut mengenal pasti pusat kuarantin akan digunakan sama seperti pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

“Satu blok di Penjara Tawau dan satu dewan masyarakat di Lahad Datu dijadikan pusat kuarantin berisiko rendah,” katanya.


Pengarang :