Permatang Kuarza Gombak Selangor. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri bertegas ECRL tidak boleh ‘ganggu’ khazanah alam

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerajaan Negeri kekal dengan keputusan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak boleh dibina di Selangor sekiranya ia ‘mengganggu’ khazanah alam.

EXCO pengangkutan awam berkata laluan yang dicadang kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) ketika mentadbir negara lebih sesuai dan tidak mengganggu alam sekitar negeri ini.

“Walaupun kerajaan akan melakukan rundingan semula dengan China berhubung pembinaan projek berkenaan, Selangor kekal dengan keputusan supaya laluan ECRL sama dengan cadangan kerajaan PAKATAN pada 2018.

“Tidak akan berlaku sebarang pembinaan sekiranya Selangor masih tidak bersetuju,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian mengulas laporan Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah yang memaklumkan kerajaan akan melakukan rundingan semula dengan China berhubung ECRL.

Rundingan itu perlu dibuat susulan PAKATAN menggantung jajaran asal Mentakab-Pelabuhan Klang yang melalui Bentong, Gombak dan seterusnya ke Pelabuhan Klang.

Hasbi berkata hasil rundingan dengan pihak berkenaan akan dibentangkan kepada Kabinet bagi memperoleh keputusan sama ada mengikut laluan asal atau tidak.

Sebelum ini, PAKATAN mengubah jajaran ECRL supaya tidak melalui Bentong dan Gombak bagi mengelak pembinaan terowong sepanjang 17.8 kilometer yang melalui Permatang Kuarza Gombak.

Sebaliknya, jajaran yang bermula dari Mentakab itu akan menuju ke selatan iaitu melalui Kuala Klawang (Negeri Sembilan) sebelum memasuki negeri ini melalui Bangi dan Kajang seterusnya menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.


Pengarang :