Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Program Turun Padang Dato’ Menteri Besar Ke DUN Bukit Antarabangsa Dan DUN Lembah Jaya di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya Ukay Perdana, Ampang pada 19 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri sedia tapak sekolah, penuhi keperluan penduduk

AMPANG, 19 SEPT: Kerajaan Negeri sedia memberi tapak sekolah berdekatan Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana bagi mengakhiri penantian penduduk sejak 30 tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata perbincangan dengan pejabat daerah dan tanah serta agensi lain akan dijalankan bagi mengenal pasti lokasi sesuai bagi tujuan berkenaan.

“Sebelum ini terdapat tapak sekolah disediakan tetapi tidak sesuai berikutan bentuk permukaan yang dipenuhi batu. Sekolah adalah keperluan masyarakat dan Kerajaan Negeri memahami kehendak mereka, maka saya yakin dalam tempoh beberapa bulan lagi kita dapat mencari lokasi sesuai.

“Sekiranya sekolah dapat dibina berdekatan Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana, penduduk tak perlu keluar sebelum subuh dari sini untuk hantar anak ke sekolah tetapi pembinaannya juga bergantung keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Turun Padang Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya Ukay Perdana, hari ini.

Pada majlis sama, Amirudin turut memperkenalkan Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa yang baharu iaitu Suzana Shaharudin yang dikenali di kalangan penduduk kerana sudah berkhidmat lebih 10 tahun dan yakin beliau akan melaksanakan tugas dengan baik.


Pengarang :