AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kerjasama semua pelihara kerencaman rakyat Malaysia

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kerjasama dan keprihatinan antara negara serta insan harus ditekankan dalam memelihara kerencaman budaya dan fahaman di Malaysia.

Dato’ Menteri Besar berkata ungkapan ‘For there is no place like Malaysia’ harus difahami dan dianggap sebagai kekuatan yang membentuk perpaduan rakyat.

“Itulah resipi kekuatan Selangor. Negeri bunga rampai atau ‘melting pot’ ini mendapat manfaat daripada kebijaksanaan dan kemahiran warganya yang berasal sejauh Perlis hingga ke Sabah.

“Baik dari segi budaya, agama, latar belakang ekonomi mahupun fahaman politik. Cogan kata ‘bersekutu bertambah mutu’ ternyata benar serta menjadi pegangan untuk menguatkan hubungan antara kita seperti diikrarkan dalam Rukun Negara,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan sempena Hari Malaysia hari ini.

Beliau berkata sebagai rakyat Malaysia kita boleh mendabik dada ekoran keadaan negara lebih baik berbanding negara jiran dalam berdepan pandemik Covid-19

Katanya, tindakan mengurus serta mengekang penularan wabak dengan cemerlang diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta menjadi bualan negara lain.

“Kini kita ‘standing in the eyes of the world’ seperti tajuk lagu Ella yang popular sewaktu Sukan Komanwel 1998 dahulu.

“Marilah kita berdoa mengharapkan yang terbaik buat negara jiran yang masih bergelut mengawal penularan wabak yang mengganas ini. Semoga kita sama-sama dapat bangkit lebih kuat daripada saki-baki virus ini,” katanya.


Pengarang :