Penjawat awam mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu kemerdekaan dalam sambutan Hari Kebangsaan peringkat daerah Petaling di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling, Shah Alam pada 2 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Kes Covid-19 di Petaling turun hasil usaha sama semua agensi

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kes Covid-19 di Petaling turun mendadak hasil usaha sama polis, petugas kesihatan, angkatan pertahanan awam dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pegawai Daerahnya, Johary Anuar berkata ia terbukti menerusi statistik sehingga 1 September yang menunjukkan Petaling merekod satu kes aktif melibatkan kes import.

“Kita (Petaling) pernah melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun semuanya dapat ditangani dengan baik hasil kerja keras semua agensi.

“Jika tiada kerjasama, mungkin kita tak dapat pastikan sama ada langkah pencegahan dapat dijayakan sepenuhnya atau tidak, namun sekarang sudah terbukti kerjasama semua pihak membolehkan kes Covid-19 terus turun,” katanya pada Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Kompleks Pejabat Daerah Petaling hari ini.

Pada 10 Mei lalu, kawasan Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya dikenakan PKPD selama 14 hari selepas terdapat 26 kes positif Covid-19.

Penguatkuasaan perintah itu membabitkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan di tiga zon di kawasan berkenaan.


Pengarang :