Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 27 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes Covid-19 di Sabah terkawal – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 8 SEPT: Penularan kes Covid-19 di Sabah adalah terkawal kerana jangkitan terhad di dua lokasi sahaja iaitu lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan penjara Tawau, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Malah katanya jangkitan juga tidak melibatkan komuniti tempatan.

“Ia situasi yang sama sebelum ini (iaitu) ketika 277 kes Covid-19 dilaporkan di dalam depoh tahanan Imigresen Bukit Jalil,” katanya pada sidang media Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes indeks dalam kluster Benteng Lahad Datu itu ialah dua pendatang tanpa izin yang ditahan dan didapati positif Covid-19 menerusi saringan.

“Aktiviti mengesan pendatang tanpa izin perlu ditingkatkan bagi membendung kemasukan mereka melalui jalan tikus untuk kurangkan kesan jangkitan Covid-19 kepada masyarakat di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihati mereka yang akan terlibat dalam Pilihan Raya Negeri Sabah agar sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Sama ada petugas kesihatan atau bukan, dan (juga) rakyat di Sabah patuh kepada SOP, kalau kita amalkan SOP kita boleh elak daripada dijangkiti (Covid-19).

“Kalau ada perhimpunan dan tiada penjarakan (fizikal), tidak memakai pelitup muka dan tidak cuci tangan maka risiko akan meningkat,” katanya.

Mengulas mengenai kluster Sungai, Dr Noor Hisham berkata 23 kes baharu positif Covid-19 hari ini melibatkan petugas kesihatan dan ahli keluarga.

“Sebanyak 16 staf kesihatan positif Covid-19 … seorang daripada mereka telah menjangkiti tujuh ahli keluarga.

“Kementerian Kesihatan masih jalankan siasatan rapi dalam kes ini. Saya ingin ingatkan petugas kesihatan agar memakai pakaian perlindungan diri terlebih dulu sebelum memeriksa pesakit yang datang ke hospital,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :