(Gambar hiasan) Kerajaan Selangor menyediakan insentif bagi meringankan beban kewangan pesakit tibi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes naik mendadak, nilai kebolehjangkitan Covid-19 lebihi paras kritikal

SHAH ALAM, 8 SEPT: Nilai kebolehjangkitan atau ‘R naught’ di Malaysia ketika ini pada tahap 1.72 melebihi paras kritikal 1.6, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia susulan peningkatan kes secara mendadak dengan terbaharu 100 kes dilaporkan.

“Dua minggu lalu hanya 0.72. Peningkatan ketara ini menggambarkan risiko berlakunya lebih banyak transmisi di dalam komuniti.

“Masyarakat mungkin alpa dan tidak mengendahkan tatacara operasi piawai (SOP), nasihat diambil ringan termasuk petugas kesihatan dan agensi lain,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Susulan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan semua petugas barisan hadapan supaya mematuhi sepenuhnya garis panduan dan tatacara pengurusan sama ada ketika bertugas atau tidak.

“Mereka sememangnya mempunyai risiko tinggi dijangkiti wabak ini atau penyakit berjangkit lain ketika di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta.

“Ambillah langkah berjaga-jaga untuk menjaga diri kita dan keluarga pada setiap masa,” katanya.

Terdahulu beliau memaklumkan pertambahan 100 kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,559 dengan 295 kes aktif.


Pengarang :