Petugas kesihatan yang memakai sut peralatan perlindungan diri keluar selepas menjalankan saringan kesihatan ke atas penghuni Menara City One pada 1 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM pesan petugas kesihatan perlu sihat mental, fizikal

SHAH ALAM, 17 SEPT: Petugas kesihatan perlu sihat dari segi fizikal dan mental bagi memastikan keselamatan pesakit terjamin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata gelombang Covid-19 ketika ini menjadikan mereka sebagai golongan berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan.

“Beberapa kakitangan KKM dan hospital swasta disahkan positif wabak itu dalam kluster Sentosa, Telaga dan Sungai dan terbaharu melibatkan empat petugas kesihatan di Lahad Datu.

“Terdapat juga beberapa kematian melibatkan petugas kesihatan,” menurut kementerian di Facebook sempena Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2020 hari ini.

Tema sambutan tahun ini ‘Bersuaralah untuk keselamatan petugas kesihatan’ selari dengan penularan virus itu di seluruh dunia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dijangka merasmikan sambutan hari berkenaan jam 2 petang ini dan disiarkan di Facebook KKM.

Sebagai tanda sokongan terhadap petugas kesihatan, bangunan ikonik di Putrajaya akan dilimpahi warna jingga bermula malam ini sehingga Ahad.


Pengarang :