AGENDANASIONAL

KKMM: Belum ada perbincangan kenakan bayaran perkhidmatan kepada pengguna e-dagang

PUTRAJAYA, 9 SEPT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini menjelaskan bahawa belum ada perbincangan untuk mengenakan bayaran perkhidmatan kepada pengguna untuk pembelian dalam talian dalam platform e-dagang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KKMM membuat penjelasan tersebut dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin di Kelantan semalam.

Zahidi dilaporkan berkata KKMM bercadang mengenakan caj perkhidmatan 20 sen bagi pembelian di bawah RM1,000 melalui platform dalam talian.

Beliau juga dilaporkan berkata caj perkhidmatan yang dikutip itu akan digunakan untuk penambahbaikan sistem keselamatan komunikasi bagi mengelak pencerobohan siber.

“KKMM ingin menjelaskan bahawa belum ada perbincangan untuk mengenakan bayaran perkhidmatan kepada pengguna dalam platform e-dagang (pembelian dalam talian) sebanyak 20 sen bagi pembelian di bawah RM1,000 serta tambahan 20 sen bagi gandaan RM1,000 berikutnya,” kata kementerian itu.

– BERNAMA


Pengarang :