Virus Covid-19 dikesan kali pertama di Wuhan, China, dilihat dalam ilustrasi yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat pada 29 Januari 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Kluster baharu babit tahanan lokap, tujuh positif Covid-19

SHAH ALAM, 1 SEPT: Satu lagi kluster baharu dikesan membabitkan tahanan lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah.

Ketua pengarah kesihatan berkata setakat ini kluster Benteng LD itu mencatatkan tujuh kes positif dengan enam daripadanya ialah pendatang asing tanpa izin.

“Seramai 50 tahanan turut disaring namun 43 negatif. Semua kes positif ini tidak bergejala. Mereka dimasukkan ke Hospital Lahad Datu dan punca jangkitan masih dijalankan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, proses pembersihan dan nyahkuman dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti selain aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak diteruskan bagi mengekang penularan pandemik itu.

Sementara itu, beliau memaklumkan jumlah kluster Tawar dan Telaga meningkat selepas masing-masing merekodkan satu kes baharu.

Katanya, setakat hari ini kluster Tawar mencatatkan 75 kes positif manakala enam kes bagi kluster Telaga.

“Seramai 1,451 individu yang disaring dari dua kluster ini masih menunggu keputusan. Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan,” katanya.


Pengarang :