Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 27 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster baharu Covid-19 babit pegawai Imigresen

SHAH ALAM, 4 SEPT: Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan membabitkan dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes indeks kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih 2 itu merupakan tahanan warga asing yang bakal dihantar pulang ke negara asal.

“Beliau disaring pada 27 Ogos dan disahkan positif. Dua kes baharu hari ini merupakan pegawai Imigresen yang mengiringi tahanan itu membuat saringan.

“Setakat ini 269 individu termasuk tahanan, kakitangan DTI dan ahli keluarga disaring. Tiga positif, 123 negatif manakala 143 masih tunggu keputusan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Susulan kluster baharu ini beliau mengingatkan petugas barisan hadapan yang menguruskan kes Covid-19 supaya mengambil langkah pencegahan setiap masa.

“Ini termasuk pemakaian sut peralatan perlindungan diri dengan betul, penjarakan fizikal dan amalan kebersihan tangan,” katanya.


Pengarang :