Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil sampel ketika menjalankan saringan Covid-19 terhadap peniaga di Pasar Besar Seremban pada 3 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster baharu di Selangor babit PATI, anggota polis

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu Covid-19 di Selangor iaitu kluster Benteng PK hasil saringan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Klang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan yang dijalankan dari 16 hingga 25 September mendapati lapan PATI dikesan positif wabak.

“Hasil saringan kontak rapat mendapati satu lagi kes positif bagi kluster ini pada 28 September yang melibatkan anggota polis. Mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau menjelaskan sehingga kini seramai 148 individu disaring dengan sembilan kes positif dan 139 dikesan negatif.

Sebanyak 15 kes baharu Covid-19 dikesan di negeri ini membabitkan 13 warganegara dan dua bukan warganegara.

Selain Benteng PK, KKM juga mengesan tiga kluster baharu di negara ini iaitu kluster Jalan Bomba dan kluster Jalan Utara di Sabah serta kluster Bakawali di Johor.


Pengarang :