Antara petugas MPSJ yang menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan Covid-19 menggunakan Unit COMBAT dibangunkan Hospital UiTM Sungai Buloh. – Foto MPSJ
AGENDANASIONAL

Kluster baharu Jalan Apas dikesan di Selangor

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu di Selangor iaitu kluster Jalan Apas.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes indeks ke-10,782 dan ke-10,783 merupakan pasangan suami isteri warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 13 hingga 16 September.

“Kedua-dua kes indeks mula bergejala demam, batuk, dan selesema pada 18 September 2020 yang kemudian mendapatkan rawatan di pusat perubatan pada 19 September.

“Mereka kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September, didapati positif Covid-19 pada 26 September dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan hasil saringan kontak rapat mendapati enam lagi kes positif direkodkan semalam dan sehingga kini seramai 66 individu disaring.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada jumlah ini lapan dikesan positif, 55 negatif manakala dua lagi kes masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyahkuman dijalankan di lokasi-lokasi yang terbabit. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.


Pengarang :