Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pada sidang media berkenaan beberapa isu semasa di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 10 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster benteng Lahad Datu: Polis tingkat SOP kekang Covid-19

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggandakan tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di Sabah termasuklah kluster benteng Lahad Datu terutama dalam menahan pendatang tanpa izin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia merupakan langkah pencegahan kerana pihaknya tidak mengetahui asal-usul dan tahap kesihatan pendatang tanpa izin berkenaan.

Beliau berkata arahan terhadap tindakan pemantauan dan penguatkuasaan SOP juga telah dikeluarkan kepada setiap Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai.

“Sebagai contoh saya telah mengingatkan Ketua Polis Kedah (Datuk Hasanuddin Hassan) supaya meningkatkan penguatkuasaan (SOP) ini kerana kes Covid-19 di negeri itu semakin meningkat.

“Orang ramai diingatkan agar mematuhi SOP yang ditetapkan agar tidak dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas jawatan empat pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Maktab PDRM Cheras, di sini, hari ini.

Selain itu, Abdul Hamid berkata ada kebarangkalian orang ramai telah mula cuai dan berasa lega kerana statistik Covid-19 yang diumumkan ketika ini berlegar-legar sekitar satu hingga dua angka.

“Ini berikutan terdapat pelanggaran SOP secara terang-terangan dilakukan seperti yang berlaku di kelab-kelab malam dan pusat-pusat hiburan. Risikonya begitu tinggi dan akan wujudnya kluster-kluster baharu,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan tiada pegawai atau anggota polis dijangkiti Covid-19 bagi kluster benteng Lahad Datu, meskipun kes baharu yang dicatatkan semalam meningkat ke-100.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata beberapa saksi telah dipanggil memberi keterangan berhubung kes anggota tentera mati disyaki terjun bangunan kediaman kem tentera di Batu Pahat, pada 28 Ogos lepas.

“Beberapa tentera sedang dirakam percakapannya dan apabila dapat butirannya, laporan lengkap akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Kami melihat pelbagai sudut, mungkin ada penderaan atau mungkin arwah ini ketakutan jadi dia lari dan terjun dan bukannya hendak bunuh diri,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :